Tazkirah Aidiladha

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Siapa yang bangun pada kedua malam dari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan ikhlas, kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada saat hati semua orang telah mati". (Riwayat Ibnu Majah dari Abu Umam

Friday, December 29, 2006

http://www.pmram.org/perutusan/aidiladha1424.htm

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد

الحمد لله وحده ، صدق وعده ، ونصر عبده ، وأعز جنده ، وهزم الأحزاب وحده ، والصلاة والسلام على من لا نبى بعده ، وعلى آلـه وأصحابه ومن دعا بدعوته الى يوم الدين ،، أما بعد

Muslimin dan Muslimat yang dihormati,

Puja dan Syukur buat ilahi yang menganugerahkan nikmat Aidil Adha sebagai lambang keunggulan umat Islam sejagat. Keunggulan itu terpapar pada pengorbanan seorang nabi untuk tuhannya walau menerima arahan menyembelih darah dagingnya sendiri; jua pada kesatuan yang terpugar pada perhimpunan umat Muhammad setiap musim dalam perhimpunan teragung di Arafah, natijah pengorbanan masing-masing menjunjung panji ‘Labbaikallahhumma Labbaik’. Mereka yang tidak dapat bersama di Arafah pula bersiap-siaga menumpahkan darah korban-korban terpilih pada pagi Aidil Adha dan Ayyamu Tasyrik sebagai simbol kebersamaan dalam ubudiyah dan tadhhiyah kepada Allah.

Tika dan saat yang sama jua menyaksikan darah saudara-saudara kita terus mengalir dan mengalir membasahi bumi, menjadi korban musuh durjana yang melata di setiap penjuru alam dengan hunusan senjata pelbagai rupa tanpa siapa yang menyekatnya. Apakah erti keunggulan yang tersirat dalam falsafah Aidil Adha, sedangkan telinga mulut dan mata kita hanya mampu menyaksikan korban-korban seaqidah terus bertambah.

Rakan-rakan seperjuangan yang dihormati,

Sedar atau tidak, masih ramai di kalangan kita yang menjejaki denai ke arah lembah derita yang serupa. Denai-denai itu yang berselirat sejuta rupa melingkari ruang hidup mereka sehingga tidak ramai yang berjaya keluar daripadanya. Suasana ini akhirnya akan melahirkan generasi du’at yang rapuh dan lemah lalu mudah ditumpaskan musuh. Dalam masa yang sama, bunga-bunga perubahan belum begitu mekar lantaran akar yang mengumbi di dasar pohon seringkali kekeringan. Tanah-tanah yang keras membatu juga sering manghalang air menyuburkan akar-akar tersebut apatah lagi untuk mencambahkan tunas-tunas baru pewaris perjuangan.

Suasana ini tidak wajar dibiar berterusan. Agenda-agenda tarbiah dan thaqafah adalah terlalu penting untuk dirancakkan dalam suasana keharmonian dan kesatuan sejati sehingga membekaskan perubahan yang dikehendaki. Nilai-nilai ketaqwaan yang luntur perlu dipugar walaupun perit, kerana ia adalah jalan keluar daripada segala kesukaran dan kesulitan. Firman Allah SWT :

ومن يتق الله يجعل له مخرجا و يرزقه من حيث لا يحتسب

Adalah munasabah seandainya umat Islam selama ini diazab oleh kemungkaran mereka sendiri. Justeru agenda perubahan perlu direncana. Keterlanjuran berulang terhadap Allah yang dilakukan hingga menutup nur hidayah perlu dimuhasabah agar nusrah dari Ilahi kembali terbuka dan bercahaya.

Sahabat-sahabat seaqidah sekalian,

Rela atau tidak, kita adalah pemikul kewajipan itu. Ayuh ketepikan unsur-unsur pemecah kesatuan yang masih tersisa. Jitukan semangat perjuangan, halakan tujuan dan tindakan menurut keutamaan, tidak lagi mengikut nafsu dan perasaan. Seandainya para jemaah haji sedang bersatu di Tanah Haram menunaikan tanggugjawap yang diperintahkan oleh Allah, maka kita seharusnya bersatu hati dan berikrar agar segala perintah Allah dapat dilaksanakan dibuka bumi ini dan segala larangannya dapat dicegah secara berkesan.

Marilah sama-sama kita berdoa, semoga semangat pengorbanan yang dilakukan oleh nabi Ibrahim dan keluarganya akan meresap ke dalam jiwa-jiwa umat Islam keseluruhannya, supaya mampu berhadapan dengan segala ancaman dan cabaran daripada musuh-musuh yang durjana di serata dunia. Moga-moga pergorbanan yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Islam di Palestin, Chechnya, Kashmir dan seluruh dunia akan diterima sebagai amalan yang cukup beharga di sisi Allah. Bersama seruan Lailahaillallah kita dan mereka berpadu dalam perjuangan yang satu.

Salam Aidil Adha buat semua daripada saf kepimpinan PMRAM dan HEWI PMRAM. Mohon kemaafan zahir dan batin. Sekian terima kasih

“Menggilap Tajdid, Mendepani Massa”

Salam muhasabah dan mujahadah,

Mohd Saufi Hashim
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2003

0 Comments:

Post a Comment

<< Home