ASAS PENENTUAN IDUL ADHA DARI SUDUT SYARAK
Oleh:
Hj. Ab. Rahman bin Hj. Hussain
Presiden Persatuan Falak Syarie Malaysia
Pendahuluan
Asas pembentukan takwim hijriah di Malaysia pada masa ini adalah berdasarkan kepada Takwim Imkanur-Rukyah. Begitu juga dengan penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah.
Kaedah yang digunakan dalam menentukan Idul Adha yang berpandukan kepada Hari Wukuf di Arafah telah dipinda kepada kaedah rukyah dan hisab berdasarkan Imkanur-Rukyah. Kaedah ini selaras dengan kaedah penentuan awal Ramadhan dan Syawal. Mesyuarat Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya Puasa yang diadakan pada 4 November 1991 telah mengambil keputusan iaitu:
“Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut:
a) Ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada 2º dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3º,
ATAU
b) Ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku”.
Kaedah penentuan awal bulan Zulhijjah bagi menyambut Idul Adha telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-167 pada 16 Jun 1994.
Pada 10 Mei 1995, kerajaan Malaysia telah mula menyambut Hari Raya Korban (Idul Adha) dengan kaedah baru bersama-sama dengan negara MABIMS (Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura).
Dalil-Dalil Syarak Mengenai Penentuan Awal Bulan Ramadhan, Syawal Dan Zulhijjah
Al-Quran dan hadis memberi panduan menentukan awal bulan atau waktu-waktu dalam melaksanakan ibadat.
i. Dalil al-Quran
Maksudnya;
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah; (peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat haji…”.
Surah al-Baqarah;189
Maksudnya;
“Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya)”.
Surah Yunus; 5
Maksudnya;
“Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya”.
Surah al-Israa’; 12
Maksudnya;
“Dan (Dia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju”.
Surah al-Nahl; 16
Maksudnya;
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi…”.
Surah al-Taubah; 36
Maksudnya;
“Dan demi sesungguhnya Kami telah menjadikan di langit bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta Kami hiasi langit itu bagi orang yang melihatnya”.
Surah al-Hijr; 16
Maksudnya;
“…Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu…”.
Surah al-Baqarah; 185
Maksudnya;
“Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu”.
Surah al-Rahman; 5
ii. Dalil hadis Rasulullah s.a.w.
a) عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : (صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُمِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعَدَدَ)
(رواه مسلم)
Maksudnya;
Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; “Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari)”.
(Riwayat Imam Muslim)
b) عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ : (إِذَا رَأَيْتُمُ الهِلاَلَ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَصُومُوا ثَلاَثِينَ يَوْمًا)
(رواه مسلم)
Maksudnya;
Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila kamu sekalian melihat hilal, maka berpuasalah. Dan apabila kamu sekalian melihat hilal, maka berbukalah (berhari raya). Apabila hilal terlindung daripada pandangan kamu, maka berpuasalah tiga puluh hari”.
(Riwayat Imam Muslim)
c) صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ حَالَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُ سَحَابٌ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانٍ ثَلاَثِينَ (رواه أحمد بن حنبل)
Maksudnya;
“Berpuasalah kamu sekalian kerana melihat hilal dan berbukalah kamu sekalian (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terhalang oleh awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bilangan bulan Syaaban tiga puluh (hari)”.
(Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)
d) إِذَا رَأَيْتُمُ الهِلاَلَ فَصُومُوا وإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوْا لَهُ
(رواه مسلم)
Maksudnya;
“Apabila kamu melihat hilal, maka berpuasalah dan apabila kamu melihat hilal, maka berbukalah (berhari raya). Apabila hilal itu terlindung daripada pandangan kamu, maka takdirkanlah (hisab) ia”.
(Riwayat Imam Muslim)
iii. Pendapat Ulama’ Daripada Kitab-Kitab Muktabar
a) وقد إتّفق علمائنا على أن إلتماس هلال رمضان فرض كفاية.
(كتاب إرشاد أهل الملة إلى إثبات الأهلة:99)
Maksudnya;
“Dan ulama’ kita telah bersepakat bahawa merukyah hilal Ramadhan itu fardhu kifayah”.
(Kitab Irsyad Ahlil Millah Ila Isbat al-Ahillah m.s. 99)
b) لكن يجب عليه أن يعمل في حسابه وكذلك من صدقه. (كاشفة السجا:109)
Maksudnya;
“…Akan tetapi wajib ke atas ahli hisab mengamalkan ilmu hisabnya, demikian pula orang yang membenarkannya”.
(Kasyifah al-Saja m.s. 109)
c) ويعمل الحاسب بحسابه سواء قطع بوجود الهلال ورؤيته أو بوجوده وامتناع رؤيته أو بوجوده وجواز رؤيته
(شرقاوي أول: 419)
Maksudnya;
“Ahli hisab mengamalkan ilmu hisabnya sama ada dengan kelihatan hilal atau dengan wujudnya hilal yang tidak boleh kelihatan atau dengan wujudnya hilal yang mungkin boleh dilihat”.
(Kitab Syarqawi, juzuk pertama m.s. 419)
d)وإذا دل الحساب على أن الهلال قد طلع من الأفق على وجه يرى لولا وجود المانع كالغيم مثلا فهذا يقتضي الوجوب لوجود السبب الشرعي.
(قاله القشيري)
Maksudnya;
“Dan apabila hisab menunjukkan hilal ada di atas ufuk yang biasanya dapat dilihat kalau tidak ada penghalang seperti mendung, maka ini menunjukkan wajib berpuasa kerana ada sebab syar’i”.
(Kitab Syarqawi pendapat al-Qusyairi)
e) ينبغي فيما لو دل الحساب القطعي على وجوده بعد الغروب بحيث تتأتى رؤيته لكن لم توجد بالفعل أن يكفي ذلك.
(قال إبن القاسم العبادي على التحفة)
Maksudnya;
“Seharusnya apabila hisab qat’i telah menunjukkan wujudnya hilal setelah terbenam matahari sekira-kira boleh dilihat tetapi tidak kelihatan, maka yang demikian itu sudah memadai (menggunakan hisab)”.
(Kitab al-Tuhfah pendapat Ibn al-Qasim al-Ubadi)
e) وروي عن بعض السلف أنه إذا أغمي الهلال رجع إلى الحساب بمسير القمر والشمس وهو مذهب مطرف بن الشخير وهو من كبار التابعين، وحكى إبن سريج عن الشافعي أنه قال: من كان مذهبه الاستدلال بالنجوم ومنازل القمر ثم تبين له من جهة الاستدلال أن الهلال مرئي وقد غم فإن له أن يعقد الصوم ويجزيه.
(بداية المجتهد ونهاية المقتصد : 242)
Maksudnya;
“Apabila hilal ditutupi awan, maka ia kembali kepada hisab yang berdasarkan perjalanan bulan dan matahari, itulah mazhab Mutarrif bin al-Syakhir, beliau termasuk ulama’ besar tabiin dan Ibnu Suraij bercerita dari Imam Syafi’i bahawa Imam Syafi’i berkata; orang yang mazhabnya itu mengambil pedoman dengan bintang-bintang dan kedudukan bulan kemudian jelas baginya menurut dalil tersebut bahawa bulan telah boleh dilihat tetapi terlindung oleh awan, maka orang tersebut boleh melaksanakan puasa dan memadailah baginya”.
(Kitab Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, juzuk pertama m.s. 242)
g) Pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Hanafiyyah iaitu rukyah satu negara adalah rukyah bagi seluruh negara tanpa mengira jauh atau dekat, persamaan matla’ atau tidak adalah merupakan satu pendapat yang lemah dalam mazhab al-Shafi’iyyah (rukyah satu negara adalah rukyah bagi seluruh dunia).
Pendapat mazhab al-Hanafiyyah jika dilaksanakan akan menimbulkan masalah kepada masyarakat Islam untuk memulakan puasa atau hari raya, terutama bagi negara-negara yang berjauhan seperti Malaysia dengan Makkah al-Mukarramah ataupun seperti Malaysia dengan Maghribi yang mempunyai perbezaan masa yang panjang. Walaubagaimanapun, adalah mudah dan tiada masalah bagi negara-negara yang berdekatan.
Menyatukan rukyah di antara negara yang berdekatan adalah satu pendapat dalam mazhab al-Syafi’iyyah iaitu rukyah satu negara dikira rukyah kepada setiap negara berdekatan yang tidak mungkin terlindung anak bulan dari negara-negara tersebut tanpa sebarang sebab seperti matla’ negara MABIMS.
Walau bagaimanapun, sekiranya pendapat ini berserta dengan hisab diterima dan diumumkan oleh pemerintah bagi negara-negara yang berdekatan secara bersama, wajarlah bagi seluruh masyarakat Islam di negara-negara tersebut mematuhinya kerana dengan melaksanakan kaedah rukyah dan hisab adalah tidak bercanggah dengan dasar rukyah yang dikehendaki oleh Islam.
Dalam sejarah Islam, tidak terdapat riwayat tentang mana-mana ulama’ fiqh, hadis atau falak yang tidak berpuasa atau berhari raya bersama-sama orang ramai.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ذكَرَ النَّبِيّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيه قَالَ : وَفِطْرُكُمْ يَوْمَ تُفْطِرُوْنَ وَأَضْحاكُمْ يَوْمَ تُضَحُّوْنَ
(رواه أَبو داود)
Maksudnya;
Daripada Abi Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; “Idul Fitri ialah pada hari orang ramai berbuka puasa (berhari raya) dan Idul Adha ialah pada hari orang ramai menyembelih (berkorban)”.
(Riwayat Imam Abu Daud)
Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : الصَّوْمُ يَوْمَ تَصُوْمُوْنَ وَالْفِطْرُ يَوْمَ تُفْطِرُوْنَ وَاْلأَضْحَى يَوْمَ تُضَحُّوْنَ
(رواه الترمذي)
Maksudnya;
Daripada Abi Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda; “Puasa (permulaannya) adalah pada hari kamu berpuasa (bulan Ramadhan) dan Hari Raya Puasa (Idul Fitri) adalah hari di mana kamu berhari raya dan Hari Raya Korban (Idul Adha) adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”.
(Riwayat Imam al-Tirmizi)
Al-Imam al-Tirmizi menyatakan:
Ditafsirkan oleh segolongan ulama’ bahawa puasa dan raya hendaklah bersama-sama orang ramai (وعظم الناس أن الصوم والفطر مع الجماعة).
h) Di dalam kitab Hasyiah I‘anah al-Talibin ‘ala Halli Alfaz Fathul Muin karangan al-‘Allamah Abi Bakar Usman bin Muhammad Syata al-Dumyati disebut bahawa Imam al-Subki berkata:
لو شهد برؤية الهلال واحد أو إثنان واقتضى الحساب عدم إمكان رؤيته . قال السبكي : لا
تقبل هذه الشهادة، لان الحساب قطعي والشهادة ظنية، والظن لا يعارض القطع.
Maksudnya;
“Sekiranya seorang atau dua orang menyaksi atau melihat anak bulan dan ahli-ahli falak mengatakan anak bulan tidak mungkin kelihatan, maka penyaksian itu tidak diterima kerana perkiraan hisab merupakan perkara yang tepat dan muktamad (qat’i) dan penyaksian adalah dzanni sedangkan dzanni tidak dapat menolak perkara yang tepat dan muktamad (qat’i).
i) Al-Syeikh Rashid Redha r.h. telah menerangkan masalah penetapan waktu ibadah dengan keterangan-keterangan yang terang dan nyata dalam rencananya di dalam Tafsir al-Manar juzuk yang pertama:
إذا تقرر لدى أولي الأمر العمل بالتقاويم الفلكية في مواقيت شهري الصيام والحج، كمواقيت الصلاة وصيام كل يوم من الفجر إلى الليل، إمتنع التفرق والاختلاف بين المسلمين في كل قطر أو في البلاد التي تتفق مطالعها، وهذه لا ضرر في الاختلاف في صيامها، كما أَنه لا ضرر في الاختلاف في صلواتها.
Maksudnya;
“Apabila pihak pemerintah telah memutuskan pemakaian takwim falakiah untuk waktu-waktu bagi bulan puasa dan haji seperti waktu-waktu sembahyang dan puasa setiap hari daripada fajar hingga malam maka terhalanglah perpecahan dan perbezaan antara masyarakat Islam di kawasan atau negara yang bersamaan matla’, dari itu tidak menjadi masalah berlainan waktu puasanya sepertimana tidak menjadi masalah berlainan waktu solatnya”.
j) Terdapat di dalam kitab al-‘Ainain (العينين) muka surat 113:
لو دلّ الحساب القطعي باتفاق أهله على عدم رؤية الهلال وكان المخبر منهم بذلك عدد التواتر
ردت الشهادة
Maksudnya;
“Jika merujuk kepada kiraan hisab yang diyakini kesahihannya dan disepakati ahli hisab bahawa anak bulan tidak mungkin boleh dilihat dan jumlah ahli hisab itu ramai sampai had mutawatir, maka tertolaklah pengakuan seorang saksi yang menyatakan dia melihat anak bulan”.
(Petikan Tuhfah ibnu Hajar)
iv. Pensyariatan Idul Adha Dan Ibadat Haji
Kedua-dua hari raya telah disyariatkan pada tahun pertama hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah. Ia adalah berdasarkan kepada hadis:
عَن أَنَسٍ قَالَ : قَدِمَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَليْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ، وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا، فَقَالَ : مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ؟، قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ! فَقَالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ : (إِنَّ اللهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ
بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ)
(رواه أبو داود)
Maksudnya;
Dari Anas r.a. berkata setelah Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah, didapati bagi orang-orang Madinah ada dua hari mereka bersukaria. Maka Rasulullah s.a.w. bertanya; “Apakah dua hari ini?”. Mereka menjawab; “kami bersukaria pada dua hari tersebut pada zaman jahiliyah”. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Bahawa sesungguhnya Allah S.W.T. telah menukarkan kepada kamu hari yang lebih baik daripada kedua-duanya iaitu Idul Adha dan Idul Fitri”.
(Riwayat Imam Abu Daud)
Ibadat Haji telah disyariatkan pada tahun ke 6 hijriah.
v. Kesimpulan
Berdasarkan dalil-dalil al-Quran, hadis dan pendapat ulama’ serta kajian astronomi moden, kaedah rukyah dan hisab sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana ia menepati kehendak syarak.
Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan bagi menentukan awal bulan Zulhijjah sama dengan cara penentuan awal Ramadhan dan Syawal. Keputusan yang telah dibuat dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-30 yang diadakan pada 22 Ogos 1992 hendaklah digunapakai dan dipatuhi oleh umat Islam di negara ini bersandarkan kepada kaedah Usul Feqah:
حكم الحاكم إلزام ويرفع الخلاف
Maksudnya;
“(Apabila) keputusan telah dibuat oleh pemerintah, maka tidak ada lagi khilaf (percanggahan)” .
1 Comments:
Assalamualaikum Saudara Anwar,
Sahabat saya memaklumkan bahawa di Arab Saudi sana, wukuf adalah pada hari esok (Isnin)namun bagi kita di Malaysia hari Arafah adalah pada hari Selasa. Beliau mengingatkan saya tentang puasa hari Arafah maka saya pun tertanya-tanya mana satu untuk diikuti, yang Arab Saudi atau Malaysia?
Alhamdulillah syukur saya ke hadrat Allah kerana saudara telah memuatkan dalam blog saudara ini maklumat berkenaan kaedah syarak bagi penentuan hari2 mulia umat Islam ini dan yang paling pentingnya kaedah mana yang perlu diikut bila berlaku kelainan pendapat.
Terima kasih. Semoga Allah merahmati anda.
Post a Comment
<< Home