Tazkirah Aidiladha

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Siapa yang bangun pada kedua malam dari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan ikhlas, kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada saat hati semua orang telah mati". (Riwayat Ibnu Majah dari Abu Umam

Friday, December 29, 2006

BERSAMA NABI S.A.W. DALAM IBADAH KORBAN

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على سيدنا رسول الله صلى الله عليه وعلى آله ومن تبعه ونصره ووالاه وبعد.



عن أنس بن مالك : أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يضحي بكبشين أملحين أقرنين ويسمي ويكبر ويضع رجله على صِفاحهما. متفق عليه



Daripada Anas bin Malik r.a. : Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah melakukan ibadah korban dengan menyembelih dua ekor kibas yang putih lagi bertanduk, Baginda menyebut nama Allah s.w.t., bertakbir dan meletakkan kakinya ke atas rusuk kedua-duanya. Riwayat al-Bukhari dan Muslim



Kita mempunyai tiga masa, masa lalu, masa sekarang dan masa akan datang. Golongan yang bijaksana ialah golongan yang pandai mengambil iktibar masa lalunya untuk diperbaiki di masa sekarang dan terus diperelokkan lagi di masa akan datang. Ketiga-tiga masa itu tidak memberi apa-apa kesan kepada orang yang bijaksini.



Khauf dan Raja’



Kita baru sahaja ditinggalkan oleh hari-hari besar Allah s.w.t., laungan takbir sudah tidak bergema lagi, begitu juga tasbih, tahmid dan tahlil. Menurut Imam Ghazali r.h.m. kita diminta meletakkan diri kita setelah selesai melaksanakan sesuatu ibadat kepada Allah s.w.t. di antara khauf dan raja’ , kita tidak tahu sama ada ibadat kita itu diterima maka kita termasuk di kalangan orang-orang yang diridaiNya, atau pun amalan kita itu ditolak maka termasuklah di kalangan orang-orang yang dimurkaiNya. Kita tidak boleh yakin bahawa amalan kita itu diterima sepenuhnya, begitu juga kita tidak boleh rasa lemah semangat amalan kita itu tidak diterima.



Kita baru melepasi di antara hari-hari terbaik Allah s.w.t. Di waktu sebeginilah Allah s.w.t. menjual murah dan mempromosikan rahmatNya, keredaanNya dan seterusnya syurgaNya. Beruntunglah mereka yang membeli dan rugilah bagi sesiapa yang tidak menyedarinya.



قال تعالى :

Maksudnya :

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga.

(al-Taubah: 111)







10 Pertama Zulhijjah



Kenapakah hari-hari tersebut iaitu sepuluh pertama bulan Zulhijjah dikatakan hari-hari terbaik? Jawapannya ialah:



1) Allah s.w.t. bersumpah dengan dalam Quran.



Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

Al-Fajr



2) Hari-hari yang paling disukai dan dilipatgandakan pahala oleh Allah s.w.t.



قال صلى الله عليه وسلم :

ما من أيام العمل الصالح أحب إلى الله فيهن من هذه الأيام – يعني عشر ذي الحجة – قالوا : ولا الجهاد في سبيل الله؟ قال : ولا الجهاد في سبيل الله، إلا رجلا خرج بنفسه وماله، ثم لم يرجع من ذلك بشيء. رواه البخاري



Maksudnya :

Sabda Rasullullah s.a.w. : Tiada hari-hari yang amal salih lebih disukai Allah s.w.t. padanya daripada hari-hari ini – iaitu sepuluh pertama Zulhijjah- Mereka berkata: Adakah melebihi jihad di jalan Allah? Sabda Baginda s.a.w. : Walaupun jihad di jalan Allah kecuali seseorang yang keluar dengan diri dan hartanya dan tidak pulang dengan demikian itu sesuatu pun.

Riwayat al-Bukhari



3) Kerana berhimpunya dua perkara:



Pertama: Termasuk dalam bulan-bulan haram Allah s.w.t. iaitu bulan Zukaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.



Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

Al-Taubah : 36



Kedua : Termasuk dalam bulan haji. Bermula dari bulan Syawal hinggalah hari ke 13 Zulhijjah. Termasuk di sini hari tarwiah 8, wuquf 9, al-haj al-akbar 10, yaum ah-nahar 10,11,12 dan 13.



Siang hari sepuluh pertama Zulhijjah sebaik-baik siang hari dalam setahun sebagaimana sepuluh malam terakhir Ramadhan sebaik-baik malam dalam setahun. Kalau malam sepuluh akhir Ramadhan ada malam terbaik iaitu Lailatu al-Qadar, sepuluh awal Zulhijjah ada hari terbaik iaitu hari wuquf di padang Arafah.



Semua Manusia Sama



Betul kita telah merayakan hari raya aidiladha dengan penuh meriah sekadar kemampuan kita. Ini adalah satu daripada anugerah Allah s.w.t. kepada jemaah haji yang telah hampir selesai mengerjakan haji setelah mereka wukuf di padang Arafah. Di padang Arafah semua orang kecil besar, tua muda, kaya miskin adalah sama. Pakaian mereka sama, tempat mereka sama, seruan (talbiah) mereka sama, Tuhan mereka sama, Nabi mereka sama, tetapi belum tentu hati mereka sama.



Kita dikehendakki merayakannya dengan cara kita sebagai orang Islam. Perayaan kita cukup berbeza dengan perayaan agama lain. Perayaan kita bukan majlis minum arak yang dihiasi dengan majlis tari menari, gelak ketawa, judi dan sebagainya sebagaimana agama lain. Kalau amalan sebegitu dibuat oleh sebahagian umat Islam ia adalah bukan daripada Islam walau sebesar zarah sekali pun.



Perayaan kita mempunyai keistimewaan yang ketara yang tidak dimiliki oleh agama lain. Perayaan kita bersifat rabbaniah (ketuhanan), dipenuhi dengan ciri-ciri menghambakan diri kepada Allah s.w.t. Ia dimulai dengan takbir, solat dan hubungan dengan Allah s.w.t. Perayaan kita bersifat insaniah, seorang muslim tidak boleh bergembira di hari raya seorang diri, tidak boleh kenyang bersendirian, tidak boleh hidup tanpa ada ikatan dengan orang lain. Itu semua bukan sifat-sifat kita. Di hari raya puasa kita diwajibkan membayar zakat fitrah dan di hari raya haji kita disunatkan korban. Semua itu adalah untuk memberi kegembiraan kepada orang lain, orang fakir miskin dan sebagainya.



Musim taat dan takwa



Hari-hari yang meninggalkan kita itu adalah musim ahli taat dan takwa. Mereka telah menghidupkan musim tersebut dengan beribadah kepada Allah s.w.t. Antara amalan mereka ialah :



1) Puasa pada 9 Zulhijjah.

عن أبي قتادة (ر.ض) قال : قال رسول الله (ص) : صوم يوم عرفة يكفر سنتين ماضية ومستقبلية وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية.

رواه الجماعة إلا البخاري و الترمذي

Maksudnya: Daripada Abu Qatadah r.a. berkata: Rasullullah s.a.w. bersabda: Puasa pada hari Arafah mengampunkan dosa dua tahun, yang lepas dan akan datang, puasa pada hari Asyura’ mengampunkan dosa setahun yang lepas.



2) Memperbanyakkan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir. Sebaik-baik takbir ialah:

الله أكبر الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله الله أكبر الله أكبر ولله الحمد

Maksud takbir ialah: Menjadikan dunia di kacamata kita sesuatu yang kecil di sisi Allah s.w.t. Apabila ditawarkan kepada kita harta, pangkat atau apa yang ada di dunia agar kita bertolak ansur dengan agama kita, maka wajiblah kita tetap berpegang dengan agama kita dan kita berkata: Allah s.w.t. maha besar daripada semua itu. Allah akbar daripada harta, Allah akbar daripada pangkat dan Allah akbar daripada segalanya.



3) Menyembelih korban, dituntut kepada: orang Islam, yang baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan. Maksud berkemampuan ialah memiliki harta yang lebih daripada nafkahnya dan nafkah orang yang berada di bawahnya pada hari raya dan hari-hari tashriq. Atas dasar itu Imam Syafie tidak melonggarkan untuk meninggalkannya bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang berniat korban memotong kuku dan mencabut bulu apabila masuk bulan Zulhijjah sehinggalah ia berkorban.



عن أم سلمة (ر.ض) : أن النبي (ص) قال : إذا دخلت العشر وأراد أحدكم أن يضحي فلا يمس من شعره وبشره شيئا. رواه مسلم



Maksudnya:

Daripada Ummu Salamah r.a.: Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda: Apabila masuk bulan Zulhijjah dan seorang daripada kamu mahu berkorban maka janganlah ia mencabut sesuatu daripada kuku atau kulitnya.



Berhubung dengan fadhilat korban sabda Rasullullah s.a.w. :



قال (ص) لفاطمة (ر.ض) : قومي إلى أضحيتك فاشهديها فإنه بأول قطرة من دمها يغفر لك ما سلف من ذنوبك، قالت: يا رسول الله هذا لنا أهل البيت خاصة أو لنا وللمسلمين عامة؟ قال: بل لنا وللمسلمين عامة.

رواه الحاكم بإسناد صحيح



Maksudnya:

Bersabda Rasullullah s.a.w. kepada Fatimah r.a: Pergilah melihat korbanmua, sesungguhnya dosa lalu kamu diampunkan sebaik sahaja terpecik darah yang pertama korban, dia bertanya: Wahai Rasullullah s.a.w. amalan ini adalah untuk kita sebagai ahlu bait atau untuk kita dan sekelian umat Islam? Jawabnya: Bahkan untuk kita dan umat Islam seluruhnya.



Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s.



Korban ini mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim sebagaimana dirakamkan oleh Allah s.w.t. dalam Quran.



"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

Ibrahim:37



Siti Hajar bertanya kepada Nabi Ibrahim : Adakah ini perintah Allah s.w.t. ? Jawabnya : Ya, kata Siti Hajar : Pastilah Dia tidak akan mensia-siakan kita.



Nabi Ibrahim sekali lagi diminta untuk berkorban, kali ini diarahkan untuk menyembelihkan anaknya Ismail, mereka berdua bersabar tetap akur dengan perintah Allah s.w.t. Pengorbanan mereka ini dipuji oleh Allah s.w.t. dan dikenang sepanjang zaman.



Sifat sebeginilah yang mesti dimiliki oleh kita semua sebagaimana firman Allah s.w.t. :



Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

Al-Ahzab: 36



Marilah kita membuat perubahan dalam kehidupan kita ke arah yang lebih baik dari semalam dan kita terus beristiqamah dalam perkara kebaikan, firman Allah s.w.t. :

Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Hud : 113
1

http://www.geocities.com/alikhsan2002/korban.htm

0 Comments:

Post a Comment

<< Home