Garis Panduan
Garis Panduan - Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung dengan Unsur-Unsur yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah
1. TUJUAN
Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio-Visual Berhubung Unsur-Unsur Yang Bercamggaj Dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah ini disediakan untuk memberi panduan kepada para penerbit bahan bercetak dan audio-visual, dalam menentukan kesesuaian isi kandungan sesebuah bahan penerbitan, supaya tidak menyimpang dari ajaran Islam. Garis Panduan ini juga akan menjadi asas rujukan dan panduan kepada agensi-agensi Kerajaan berkaitan dengan penerbitan, untuk menapis dan mengawal kandungan bahan penebitan yang tidak diingini.
2. PENDAHULUAN
2.1 Garis Panduan ni disediakan ekoran daripada berleluasanya bahan penerbitan, sama ada penerbitan bercetak, filem ataupun elektronik yang banyak memaparkan kisah-kisah sensasi dan misteri dalam masyarakat. Di antara aspek yang dieksploitasikan ialah mengenai cerita-cerita aneh, legenda, cerita-cerita berunsur magis, perbomohan, kehidupan alam jin dan seumpamanya, yang sebahagian besarnya termasuk dalam perkara khurafat, tahyul dan kebudayaan karut serta bercanggah dengan akidah Islam.
2.2 Aspek-aspek yang terdapat dalam Garis Panduan ini adalah meliputi perkara-perkara yang berhubung dengan kepercayaan kepada benda-benda keramat, khurafat dan tahyul, legenda, perbomohan dan azimat, perkara ghaibiyyat dsan persoalan mimpi, sihir dan unsur-unsur magis, serta cerita-cerita aneh, misteri dan ajaib.
2.3 Garis Panduan ini adalah merupakan perincian kepada Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam yang telah diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, pada tahun 1996.
3. TAKRIF
3.1 Istilah Penerbitan
Menurut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 1987), penerbitan ditakrifkan sebagai:
(a) Dokumen, akhbar, buku dan majalah;
(b) Semua bahan bertulis atau bercetak dan segala-galanya sama ada sifatnya yang serupa dengan bahan bertulis atau bercetak atau tidak mengandungi apa-apa gambaran yang boleh dilihat;
(c) Apa-apa jua yang mengikut rupa bentuknya atau dengan apa juga cara boleh membayangkan kata-kata atau idea-idea, dan ;
(d) Rakaman suara iaitu apa-apa bahan yang padanya direkodkan suara manusia atau muzik insrumental atau lain-lain bunyi dan termasuklah piring hitam, pita dan ceper laser.
3.2 Istilah Audio Visual
Menurut Kamus Dewan bahawa, audio visual adalah sesuatu yang melibatkan atau menggunakan pendengaran dan penglihatan. Oleh itu Garis Panduan ini juga adalah digunapakai bagi semua bentuk penerbitan yang melibatkan audio visual dalam aspek perfileman, meliputi sinematografi, pita, video, disket, cakera laser, cakera padat, cakera keras atau rekod lain bagi suatu urutan imej gambar tampak yang merupakan suatu rekod yang digunakan sebagai suatu cara untuk menunjukkan urutan itu sebagai suatu gambar bergerak sama ada atau tidak diiringi oleh bunyi.
3.3 Lain-lain istilah Dalam Garis Panduan Ini
Ahlu Sunnah Wal Jamaah bermaksud mazhab-mazhab dari kalangan al-Asyairah dan al-Maturidiah alam bidang akidah, dan Mazhab Shafiel Hanafi, Maliki dan Hanbali dalam bidang hukum.
Akidah bermaksud pegangan ataupun kepercayaan dalam agama Islam berdasarkan akidah pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Ghaibiyyat bermaksud perkara-perkara ghaib yang wajib diimani seperti para malaikat, seksa kubur, jin dan sebagainya.
Irhas bermaksud perkara luar biasa yang berlaku apda diri Nabi s.a.w. sebelum ia dilantik menjadi Rasul, sebagai tanda kerasulannya.
Istidraj bermaksud perkara luar biasa yang berlaku pada orang awam dengan bantuan atau khadam, yang dikenali juga dengan ilmu hitam atau sihir.
Istihza menghina al-Quran al-Karim.
Istinzal al-Arwah bermaksud penurunan roh.
Ittihad dalam ilmu tasawuf bermaksud Tuhan dan hamba bersatu. Konsep ini juga tidak terdapat dalam pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Makhluk Halus bermaksud golongan jin.
Menurun bermaksud seseorang itu diresapi oleh makhuk halus yang dipanggil atau diseru.
Istihdhar al-Arwah bermaksud menghadirkan roh atau memanggil roh-roh supaya datang.
Ihanah bermaksud perkara luar biasa yang berlaku pada orang awam dengan menggunakan tipu daya yang tidak dapat diterima akal, sama ada melalui sihir, ilmu hitam atau sebagainya.
Rijal al-Ghaib di kalangan ahli tasawuf bermaksud lelaki yang tidak boleh dilihat, seumpama konsep wali qutub, abdal, nujaba dll. Konsep seperti ini tidak terdapat dalam Al-Quran dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Tanasukhu al-Arwah bermaksud penjelmaan semula roh orang yang telah mati.
4. GARIS PANDUAN
4.1 KEPERCAYAAN KEPADA BENDA-BENDA KERAMAT
4.1.1 Takrif
Mengikut Kamus Dewan, istilah keramat bermaksud; suci dan berkat daripada kesuciannya itu (dipercayai) dapat mendatangkan hikmat (seperti menyembuhkan penyakit, memberi keselamatan dan sebagainya). Ia juga bermaksud tempat atau sesuatu yang suci dan (dipercayai) dapat mendatangkan hikmat.
4.1.2 Bentuk-Bentuk Keramat Dalam Masyarakat
(a) Kepercayaan adanya keramat pada benda-benda dan objek tertentu yang boleh mendatangkan kebaikan luar biasa seperti telaga keramat, cincin keramat, keris keramat, buaya keramat, dan sebagainya.
(b) Pemujaan kepada kubur-kubur keramat yang didakwa pusara ulama tertentu yang dianggap boleh memberi pertolongan.
(c) Menganggap keramat pada seseorang yang berpengaruh dalam masyarakat, atau kumpulan tertentu.
(d) Menganggap wujudnya hari keramat, iaitu hari-hari tententu yang dianggap boleh mendatangkan tuah atau kebaikan yang menakjubkan.
4.1.3 Hukum Mempercayai Sesuatu Benda Sebagai Keramat
Hukum mempercayai adanya keramat pada sesuatu benda adalah syirik, kerana menganggap ianya boleh mendatangkan manfaat, selain daripada kekuasaan Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T. (Yunus : 106)
HND'N *N/R9O EPFR /OHRFP 'DDGP EN' D'N JNFRAN9OCN HND'N JN6O1QOCN AN%PFR AN9NDR*N AN%PFQNCN %P0K'EQPFN 'D8QDPEPJRFN
Maksudnya:
Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim.
4.1.4 Bentuk Penerbitan Mengenai Kepercayaan Kepada Benda Keramat Yang Dilarang
(a) Semua bentuk penerbitan yang memapar dan mempromosikan kepercayaan kepada benda-benda keramat.
Contohnya:
(i) Penerbitan yang memaparkan pemujaan terhadap kubur, pokok, haiwan-haiwan tertentu dan keris-keris lama yang dianggap mempunyai keramat atau mempunyai manfaat luar biasa.
(ii) Penerbitan yang memaparkan bentuk-bentuk pemujaan, sihir, ihanah dan istidraj.
(b) Semua bentuk penerbitan yang menyalahguna dan menyalahtafsirkan konsep karamah (kemuliaan) yang sebenar dalam agama Islam.
Contohnya:
(i) Penerbitan yang mendakwa adanya kubur keramat dan dianggap mempunyai kuasa tertentu.
4.2 KHURAFAT, TAHYUL DAN KEBUDAYAAN KARUT
4.2.1 Takrif
Menurut Kitab Al-Mujam al-Wasit, khurafat adalah cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta. Manakala mengikut Kamus al-Marbawi bahawa khurafat ialah; sebarang cerita yang benar-benar dusta. Pendapat lain menyebut bahawa; khurafat adalah sesuatu hal yang tidak masuk akal atau perkara-perkara yang sukar untuk dipercayai kebenarannya.
Berdasarkan takrif tersebut dapat dibuat kesimpulan bahawa khurafat ialah sesuatu perkara mempersonakan berbentuk rekaan atau dongeng (legenda) yang karut atau tahyul yang menyimpang dari ajaran Islam.
Manakala istilah tahyul pula adalah bermaksud; semua cerita, sama ada khayalan atau rekaan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Ia meliputi cerita-cerita yang mempersonakan dan bercampuraduk dengan perkara-perkara yang dusta.
Manakala kebudayaan karut ditakrifkan sebagai keseluruhan tatacara hidup serta hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian dalam sesuatu masyarakat, tamadun dan peradaban yang direka serta ianya bercanggah dengan ajaran Islam.
Ketiga-tiga istilah di atas adalah mempunyai maksud dan kaitan yang rapat di antara satu sama lain.
4.2.2 Ciri-ciri Khurafat dan Tahyul
(a) Cerita-cerita yang tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith.
(b) Cerita-cerita yang berunsur metos dan legenda, rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut.
(c) Cerita-cerita yang bersumberkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam.
(d) Cerita-cerita yang berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus bagi tujuan memudharatkan orang lain dan menyeleweng dari akidah Islam.
(e) Menggunakan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya bagi tujuan yang tertentu.
(f) Cerita-cerita yang mempunyai unsur-unsur negatif dari segi akidah dan syariat Islam.
4.2.3 Bentuk-Bentuk Khurafat dan Tahyul
Di antara bentuk-bentuk khurafat dan tahyul ialah;
(a) Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu dan seumpamanya.
(b) Kepercayaan kepada nasib sial majal, seperti adat membuang sial.
(c) Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan daripadanya, umpamanya adat memuja kampung.
(d) Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi.
(e) Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, seperti menangguhkan perjalanan jika terdapat biawak melintas kerana dianggap sebagai isyarat benda tidak baik akan berlaku.
(f) Percaya kepada ramalan-ramalan bintang, angka-angka atau rajah-rajah tertentu.
(g) Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang dan kubur.
4.2.4 Hukum Beramal Dengan Perkara Khurafat dan Tahyul
Dalam Islam, percaya kepada benda-benda khurafat dan tahyul, seumpama benda-benda keramat seperti pokok, kubur, telaga dan sebagainya serta percaya ianya mempunyai kuasa selain daripada Allah S.W.T. adalah syirik dan bertentangan dengan kepercayaan tauhid kepada Allah S.W.T.
Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.
9NFR #N(PJR GO1NJR1N)N 9NFP 'DFQN(PJQP 5NDQNI 'DDGO 9NDNJRGP HN3NDQNEN BN'DN: %P,R*NFP(OHR' 'D3QN(R9N 'DREOHR(PBN'*P BN' DOHR'
JN' 1N3OHRDN 'DDGP HNEN' GOFQN BN'DN: 'D4QP1RCO (P'DDGP HN'D3QP-R1O HNBN*RDO 'DFQNAR3P 'DQN*PJR -N1QNEN 'DDGO %PD'QN (PDR-NBQP
HN#NCRDN 'D1QP(N' HN#NCRDN EN'DP 'DRJN*PJREP HN'D*QNHNDQPI JNHREN 'D2QN.RAP HNBN0RAO 'DREO-R5NFN'*P 'DREO$REPFN'*P 'DR:N'APD'N*P.
(1H'G 'D(.'1J)
Maksudnya:
Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Para sahabat bertanya, Apakah tujuh perkara itu? Baginda menjawab: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk.
(Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hudud, Bab 44, hal. 33)
4.2.5 Bentuk Penerbitan Berkaitan Dengan
Khurafat dan Tahyul Yang Dilarang
(a) Semua penerbitan yang memaparkan bentuk-bentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus, bagi tujuan-tujuan tertentu.
Contohnya:
(i) Penerbitan yang mempromosi amalan-amalan pemujaan semangat keris-keris lama, menepung tawar dan upacara memuja pantai.
(b) Semua penerbitan yang mempromosikan sifat luar biasa sesuatu objek-objek tertentu.
Contohnya:
(i) Mengenai kepercayaan kepada objek-objek seperti cincin batu akek, keris lama, tombak yang dianggap boleh memberi apa-apa manfaat ataupun pertolongan.
(ii) Mengenai kepercayaan kepada sial-majal seperti adat mandi limau, mandi safar dan adat mandi membuang sial.
(c) Penerbitan yang memaparkan cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut.
Contohnya:
(i) Mengenai kepercayaan kepada cerita-cerita kononnya dengan memaku tengkok pontianak boleh menyebabkan pontianak tersebut menjelma semula menjadi manusia.
(d) Semua penerbitan yang memaparkan cerita-cerita bersumberkan daripada kepercayaan lama, kepercayaan kepada petanda, pantang larang dan adat istiadat yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Contohnya:
(i) Mengenai kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, seperti tidak boleh melihat bayi di cermin muka kerana kononnya kelak ia akan mati di dalam air.
(ii) Mengenai kepercayaan bahawa tidak boleh keluar ketika gagak berbunyi, takut mendapat sial atau bala.
(iii) Mengenai kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki, seperti adat memuja semangat padi dan membuang ancak.
4.3. PERBOMOHAN DAN AZIMAT
4.3.1 Takrif
Istilah bomoh menurut Kamus Dewan ialah tabib kampung yang mengubati orang sakit dengan menggunakan cara tradisional atau cara kampung dan jampi-jampi.
Oleh itu istilah perbomohan di sini adalah bermaksud sebarang aktiviti berkaitan dengan pengubatan yang dilakukan oleh seseorang bomoh.
Takrif azimat menurut Al-Mujam al-Wasit ialah al-ruqyah, iaitu suatu jampi. Maksud al-Ruqyah menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi ialah bahawa seseorang itu berjampi dan berazimat dengannya dengan kata-kata yang tidak dapat difahami. Manakala dalam Kamus Al-Mujam fi al-Lughah wa al-Alam disebut bahawa al-Ruqyah bermaksud memohon pertolongan ataupun bantuan untuk memperoleh sesuatu perkara dengan menggunakan kekuatan yang melampaui kekuatan tabie.
4.3.2 Prinsip-prinsip Perbomohan dan Matlamatnya
(a) Matlamat perbomohan hendaklah bagi tujuan kebaikan, seperti untuk memberi kesihatan kepada tubuh badan, kerukunan rumah-tangga dan hidup bermasyarakat. Adalah dilarang sama sekali bagi tujuan membalas dendam, membuat aniaya, menakut-nakutkan ataupun mengugut orang lain.
(b) Setiap individu atau kumpulan tidak boleh mendakwa bahawa perbomohannya bersumber daripada Nabi Muhammad s.a.w., para anbiya atau diambil daripada al-Quran dan al-Hadith atau berasal daripada amalan para sahabat Nabi s.a.w. atau lain-lain, tanpa mengemukakan bukti yang kukuh berdasarkan nas al-Quran dan al-Hadith.
4.3.3 Adab dan Tatasusila Amalan Perbomohan
(a) Bomoh tidak boleh mendakwa dan mengaitkan sesuatu musibah adalah akibat daripada angkara kejahatan makhluk ghaib.
(b) Bomoh tidak boleh takbur dan tidak boleh menganggap orang lain lemah dan lekeh.
(c) Bomoh hendaklah melarang pesakitnya memuja, mengagung dan taksub kepadanya.
(d) Bomoh hendaklah mengikut adab sopan dan tatatertib Islam ketika menolong seseorang sama ada bersendirian atau bersama pesakit.
(e) Bomoh hendaklah menjaga kesopanan tatasusila dan adab-adab sebagai seorang Islam.
(f) Perbomohan tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-Nya atau merupakan maksud di sebalik kalimah atau nama-nama Allah atau sifat-sifat-Nya seperti mengatakan ilmu bomoh itu diterima terus dari Allah atau kudratnya adalah kudrat Allah, atau melalui mimpi berjumpa wali, malaikat atau lainnya.
(g) Amalan perbomohan tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada diri atau jasad dan roh Rasulullah s.a.w., para malaikat, nabi-nabi dan orang soleh seperti Nur Muhammad menjelma ke dalam diri, dan sebagainya.
(h) Bomoh tidak boleh memuja dan memperhambakan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang dipercayai boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang seperti wali syeikh, rijal al-ghaib, roh datuk nenek, sahabat, hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busur, batu, kayu, cincin, kain kuning dan lain-lain.
(i) Bomoh tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami dan bercampuraduk dengan ayat-ayat suci al-Quran dan tidak menganggap bahawa tangkal mempunyai kuasa.
(j) Bomoh tidak boleh mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya kerana dikhuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir atau bercampuraduk dengan ayat-ayat al-Quran.
(k) Bomoh tidak boleh membaca mana-mana ayat al-Quran secara songsang.
(l) Bomoh tidak boleh menggunakan kitab al-Quran secara tidak wajar, seperti syarat; menggantung al-Quran dan tunggu berpusing atau tidak untuk dijadikan alasan tertentu jika berpusing begini dan jika tidak, begini pula maksudnya. Semua ini termasuk menghina al-Quran (Istihza).
(m) Bomoh tidak boleh meninggalkan ibadat wajib yang dituntut di dalam Islam seperti sembahyang l ima waktu dan ibadat lainnya ketika melakukan perbomohan.
(n) Bomoh tidak boleh mengamalkan perbuatan menurun, memanggil roh orang mati atau sebagainya dalam kaedah perbomohan.
(o) Penggunaan jampi dibolehkan dengan syarat;
(i) Menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.
(ii) Menggunakan bahasa yang dapat difahami.
(iii) Jangan mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit sembuh daripada penyakitnya, sebaliknya Allah S.W.T. yang berkuasa.
4.3.4 Hukum Mengamalkan Perbomohan dan AzimatB
Hukum mengamalkan perbomohan adalah harus, dengan syarat ianya tidak mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Dalam sejarah Islam, memang wujud cara pengubatan tertentu sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Selain daripada cara-cara biasa, mereka juga menggunakan doa-doa, khusus bagi mengubati penyakit-penyakit tertentu.
Walau bagaimanapun, penggunaan tangkal azimat adalah haram dan syirik jika mengandungi perkataan-perkataan yang tidak dapat difaham maknanya, atau berdasarkan kepada sihir, atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis, atau yang mengandungi benda-benda yang najis atau kotor. Namun begitu, menggunakan Kalamullah, namaNya atau sifatNya atau zikrullah adalah tidak salah.
Larangan penggunaan azimat adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w.;
9NFR 9N(R/P 'DDGP, BN'DN: 3NEP9R*O 1N3OHRDN 'DDGP 5NDQNI 'DDGO 9NDNJRGP H3NDQNEN JNBOHRDO: '%PFQN 'D1QNBNI HN'D*QNEN'&PEO'
Maksudnya:
Dari Ibnu Masud r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik.
4.3.5 Bentuk Penerbitan Berkaitan dengan Perbomohan dan Azimat Yang Dilarang
(a) Semua penerbitan yang memaparkan kepercayaan kepada kekuatan sesuatu benda bukan berdasarkan kepada nas syarak, sama ada al-Quran atau al-Hadith.
Contohnya:
(i) Penerbitan yang mempromosikan penggunaan rajah-rajah atau objek-objek tertentu dengan kain kuning untuk dijadikan tangkal.
(ii) Penerbitan yang menceritakan tentang kekebalan seseorang secara luar biasa kononnya kerana ilmu hitam yang diamalkannya.
(b) Semua penerbitan yang mempromosikan tulisan-tulisan dan rajah-rajah yang dicampuraduk dengan huruf Arab dan kalimah-kalimah al-Quran serta tidak boleh difahami maksudnya.
Contohnya:
(i) Penerbitan yang mempromosikan bentuk-bentuk jampi dan pelindung diri seperti menjampi cincin, minyak wangi, rantai, keris, cebisan kain tertentu untuk dijadikan sebagai pelindung diri, ilmu kebal serta ilmu pengasih, dan seumpamanya.
(ii) Penerbitan yang mempromosikan cara-cara membuat azimat bagi tujuan mendapat perlindungan.
Contohnya:
(i) Penerbitan mengenai amalan menjampi kepada objek-objek atau rajah-rajah yang dicampuradukkan dengan ayat-ayat suci al-Quran untuk tujuan tertentu.
(ii) Penerbitan yang memaparkan upacara perbomohan dan amalan menjampi dalam bahasa-bahasa atau sebutan yang tidak dapat difahami maksudnya.
(d) Semua penerbitan yang mengatkan sesuatu pengeras dengan sesuatu akibat.
Contohnya:
(i) Penerbitan yang memaparkan peristiwa bagaimana seseorang itu menjadi tidak siuman sepanjang hayatnya, gara-gara tidak memberi pengeras yang dikehendaki sewaktu rawatan perbomohan.
(e) Semua penerbitan yang memaparkan kepercayaan kepada sial dan mudharat yang menimpa seseorang atau diri sendiri.
Contohnya:
(i) Penerbitan yang memaparkan seorang ibu muda sukar untuk bersalin, gara-gara melanggar pantang larang supaya jangan mandi di sungai.
(f) Semua penerbitan yang memaparkan penyembelihan binatang bagi tujuan bukan syarie.
Contohnya:
(i) Penerbitan yang memaparkan upacara penyembelihan kambing sebagai korban bagi upacara menurun yang dilakukan oleh sekumpulan pemuja kubur.
(g) Semua penerbitan yang memaparkan perlakuan bomoh dengan bacaan tertentu yang menggunakan kuasa ghaib dalam upacara perbomohan..
Contohnya:
(i) Penerbitan yang memaparkan upacara perbomohan sedang diadakan dengan segala jampi mentera dan suasana memanggil jin sebagai khadam.
(h) Semua penerbitan yang memaparka supaya taat setia kepada bomoh atau seseorang pada sesuatu perkara yang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat.
Contohnya:
(i) Penerbitan yang mempromosi kebaikan sesuatu ajaran atau amalan perbomohan yang jelas menggunakan ilmu sihir atau berunsur maksiat.
4.4 PERKARA GHAIBIYYAT DAN PERSOALAN MIMPI
4.4.1 Takrif
Perkara ghaibiyyat ialah perkara-perkara mengenai akidah Islam yang tidak nampak dengan mata kasar, tetapi wajib dipercayai oleh semua umat Islam. Ianya meliputi perkara-perkara yang berkaitan dengan konsep ketuhanan, malaikat, persoalan roh, alam akhirat, alam kubur dan mati, dan juga alam makhluk halus dari kalangan jin.
Manakala persoalan mimpi ialah perkara-perkara yang berhubung dengan sesuatu yang tergambar atau dialami oleh seseorang ketika ia tidur.
4.4.2 Hukum Memaparkan Perkara-perkara Ghaibiyyat dan Mimpi
Perkara-perkara berbentuk ghaibiyyat adalah wajib diimani. Namun semua perkara ghaibiyyat yang tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan al-Hadith adalah dilarang dipapar dan diceritakan.
4.4.3 Penerbitan Berkaitan Dengan Perkara Ghaibiyyat dan Mimpi Yang Dilarang
(a) Semua penerbitan yang memaparkan kisah-kisah atau pengalaman mimpi yang bercanggah dengan nas-nas syarak, seperti mimpi melihat keadaan di alam barzakh, syurga, neraka dan seumpamanya.
Contohnya:
(i) Memaparkan kisah mimpi seseorang yang alim bertemu dengan Allah S.W.T. dan berdialog dengan-Nya ketika dalam mimpi tersebut.
(ii) Memaparkan kisah mimpi seorang ahli sufi melihat keadaan di Padang Mahsyar dan menceritakannya kepada orang lain apa yang dilihatnya itu.
(iii) Memaparkan keadaan siksaan dalam kubur, seumpama memperlihatkan pukulan malaikat Munkar dan Nakir yang sangat menakutkan.
(b) Semua penerbitan yang menggambarkan perkara-perkara ghaibiyyat secara terperinci, sedangkan ianya tidak terdapat dalam al-Quran atau al-Hadith.
Contohnya:
(i) Memaparkan kisah-kisah mimpi seorang yang dapat melihat keadaan seksa di alam kubur, keadaan di Syurga dan Neraka.
(ii) Memapamerkan bentuk makhluk halus, seumpama jin, secara jelas dan nyata.
(c) Semua penerbitan yang memaparkan pengalaman seseorang berkomunikasi atau bertemu dengan makhluk-makhluk ghaib.
Contohnya:
(i) Memaparkan kisah-kisah perkahwinan di antara manusia dengan jin dan orang bunian.
(d) Semua penerbitan yang memaparkan keyakinan bahawa makhluk jin itu mempunyai kuasa mutlak tanpa qudrat dan iradat daripada Allah S.W.T. (Dalam masyarakat Melayu, jin juga dikenali dalam berbagai nama seperti polong, toyol, iblis, saka dan lain-lain).
Contohnya:
(i) Memaparkan kisah-kisah perbomohan yang pasti boleh sembuh kerana berkat pertolongan jin. Kisah seumpama ini boleh menunjukkan bahawa golongan makhluk ghaib lebih berkuasa untuk menolong daripada Allah.
(ii) Memaparkan kisah-kisah pemujaan menggunakan mentera, memuja kubur, meminta bantuan toyol dan seumpamanya.
(e) Semua penerbitan yang memaparkan pemujaan-pemujaan kepada makhluk syaitan, atau kisah-kisah manusia boleh berhubungan terus dengan jin dan roh.
Contohnya:
(i) Kisah-kisah bomoh menggunakan jin yang berkuasa melakukan sesuatu melebihi kuasa Allah, seumpama menyembuhkan segala penyakit atau mengetahui sesuatu barang yang hilang.
(ii) Kisah-kisah yang memaparkan tentang pengalaman yang berkaitan dengan penjelmaan semula roh orang yang telah mati (Istihdhar al-Arwah), penurunan roh (Istinzal al-Arwah) dan roh berkuasa menolong (Istikhdam al-Arwah).
(iii) Kisah-kisah yang memaparkan konsep-konsep kepercayaan terhadap roh yang terdapat dalam agama-agama lain seperti konsep penjelamaan semula roh dalam jasad (Tanasukhu al-Arwah) sebagaimana yang terdapat dalam kepercayaan Hindu, Buddha atau kepercayaan anemisma.
(f) Semua penerbitan yang memaparkan kisah-kisah pengalaman rohani yang bercanggah dengan akidah dan hukum syarak.
Contohnya:
(i) Pemaparan kisah ahli tarekat yang kononnya sampai ke alam fana dan berlakunya penyatuan diri dengan Allah.
(ii) Pemaparan kisah ahli sufi yang mendakwa bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan menerima sesuatu wasiat daripada Baginda.
4.5 SIHIR DAN UNSUR-UNSUR MAGIS
4.5.1 Takrif
Sihir menurut bahasa ialah sesuatu yang halus dan tersembunyi, manakala dari segi istilah adalah merujuk kepada hal-hal luar biasa yang jarang dapat difahami oleh manusia, tersembunyi sebab-sebabnya serta perbuatan itu dilakukan secara berselindung dan tipu daya dengan memohon pertolongan daripada syaitan. Ia jug didefinikan sebagai perkara luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi (ghaib), yang melibatkan makhluk halus dan bercanggah dengan syarak.
Magis ialah perkara luar biasa yang mengandungi (mempunyai) keupayaan yang tersembunyi, atau ghaib.
4.5.2 Hukum beramal dengan sihir dan perkara magis
Islam menentang keras amalan sihir dan perbuatan yang dilakukan oleh tukang-tukang sihir. Hukum percaya dan mengamalkan ilmu sihir adalah haram dan berdosa besar, berdasarkan hadith Nabi s.a.w.
9NFR #N(PJR GO1NJR1N)N 9NFP 'DFQN(PJQP 5NDQNI 'DDGO 9NDNJRGP HN3NDQNEN BN'DN: %P,R*NFP(OHR' 'D3QN(R9N 'DREOHR(PBN'*P BN' DOHR'
JN' 1N3OHRDN 'DDGP HNEN' GOFQN BN'DN: 'D4QP1RCO (P'DDGP HN'D3QP-R1O HNBN*RDO 'DFQNAR3P 'DQN*PJR -N1QNEN 'DDGO %PD'QN (PDR-NBQP
HN#NCRDN 'D1QP(N' HN#NCRDN EN'DP 'DRJN*PJREP HN'D*QNHNDQPI JNHREN 'D2QN.RAP HNBN0RAO 'DREO-R5NFN'*P 'DREO$REPFN'*P 'DR:N'APD'N*P.
(1H'G 'D(.'1J)
Maksudnya:
Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Para sahabat bertanya, Apakah tujuh perkara itu? Baginda menjawab: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim,lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Haramnya sihir tidak hanya terbatas kepada menjadi tukang sihir semata-mata, malah meliputi setiap individu yang percaya terhadap apa yang diperkatakan oleh tukang-tukang sihir. Di antara perbuatan keji tukang-tukang sihir adalah memisahkan hubungan suami isteri, mengganggu seseorang, dan menimbulkan suasana tidak tenteram dalam masyarakat.
Oleh itu, adalah dilarang sama sekali memaparkan kisah-kisah dan penceritaan tentang amalan sihir yang berlaku dalam masyarakat, kerana dikhuatiri merangsang ke arah berlakunya amalan yang bercanggah dengan syariat.
4.5.3 Bentuk Penerbitan Berunsur Sihir dan Magis Yang Dilarang
(a) Semua penerbitan yang mempromosi dan mengajar cara-cara atau teknik melakukan sihir dan perkara magis.
Contohnya:
(i) Memaparkan temubual dengan seseorang bomoh yang kononnya pandai dalam ilmu sihir.
(b) Semua penerbitan yang memaparkan secara jelas, kisah-kisah seseorang yang menderita kerana didakwa terkena sihir.
Contohnya:
(i) Memaparkan rencana dan gambar seorang gadis yang menjadi gila kerana didakwa terkena ilmu hitam.
4.6 PERKARA ANEH DAN MISTERI
4.6.1 Takrif
Aneh ialah sesuatu (yang didengar dan sebagainya bukan benda atau perbuatan) tidak seperti yang biasa, pelik dan ganjil. Misteri ialah sesuatu peristiwa, fenomena dan lain-lain yang tidak dapat difahami atau dimengerti; orang atau benda yang menimbulkan rasa ingin tahu atau suspens oleh sebab tidak diketahui, kabur atau membingungkan.
4.6.2 Perkara Aneh, Misteri dan Ajaib Dalam Konteks Agama
Dalam kehidupan sehari-hari, terdapat perkara-perkara yang aneh, misteri dan ajaib pada pandangan manusia, tetapi tidak aneh dan misteri di sisi Islam. Sesuatu yang berlaku adalah sebagai perkara mingkin wujud atau mungkin tidak. Memandangkan manusia mempunyai sifat kekurangan, mungkin sesuatu yang berlaku di sisi seseorang tidak boleh dilakukan oleh seseorang yang lain. Bahkan ada diantaranya berlaku sama ada secara sengaja ataupun tidak.
Di sisi Allah, semua perkara aneh dan misteri adalah atas keizinan dan ketentuan Allah semata-mata. Sekiranya berlaku ianya merupakan tanda kebesaran dan kekuasaan Allah. Namun begitu, tidak semua perkara-perkara aneh, misteri dan ajaib yang berlaku dalam masyarakat itu berlaku selari dengan syariat. Justeru itu, ianya tidak boleh dihebahkan kepada umum kerana dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai anggapan dan fitnah serta mendedahkan masyarakat kepada penyelewengan. Ada di antara perkara aneh, misteri dan ajaib itu berunsur pemujaan ataupun sihir, yang melibatkan angkara makhluk halus, seperti syaitan dan iblis.
4.6.3 Penerbitan Mengenai Cerita Aneh dan Misteri Yang Hilang
(a) Semua penerbitan yang memaparkan cerita-cerita aneh dan luar biasa serta boleh memudharatkan manusia.
Contohnya:
(i) Kisah kemampuan seseorang memakan kaca tanpa sebarang mudharat.
(ii) Kisah kemampuan seseorang berjalan di atas bara api tanpa sebarang kecederaan.
(b) Semua penerbitan yang memaparkan cerita-cerita yang tidak mempunyai asas yang jelas dari segi perundangan Islam.
Contohnya:
(i) Kisah mayat berulat sebelum dikebumikan, yang didakwa akibat durhaka kepada ibu-bapa.
(ii) Kisah mayat bertukar menjadi khinzir.
(c) Semua penerbitan yang memaparkan cerita-cerita keanehan yang memperalatkan agama.
Contohnya:
(i) Kisah perut menjadi busung kerana didakwa gat-gara suka memakan harta anak yatim.
(d) Semua penerbitan yang memaparkan anggapan bahawa peristiwa-peristiwa luar biasa yang berkaitan dengan kenabian adalah suatu peristiwa misteri.
Contohnya:
(j) Peristiwa Isra dan Mikraj itu sebagai perkara misteri.
(e) Semua penerbitan berbentuk sensasi yang boleh mengaibkan seseorang individu atau kumpulan.
Contohnya:
(i) Pemaparan cerita-cerita atau dakwaan adanya kaum lelaki yang terlalu ganas dan luar biasa terhadap seks sehingga menimbulkan keresahan isterinya, lalu mengadu kepada seseorang tertentu, lalu diceritakan semula sebagai bahan penerbitan.
(f) Semua penerbitan yang memaparkan cerita yang direka-reka bagi menambah perasaan suspens dan sensasi berhubung dengan sesuatu kisah, yang didakwa sebagai suatu kisah benar.
Contohnya:
(i) Pemaparan kisah-kisah yang sebenarnya hanya sejengkal tetapi ditambah sehingga sedepa, semata-mata bagi menambahkan sensari kepada pembaca atau penonton.
Cerita-cerita dan penulisan berbentuk aneh dan misteri dibolehkan, dengan syarat, ianya tidak menyentuh persoalan berhubung dengan wahyu, mukjizat, istidraj, perkara-perkara samiyyat dan ghaibiyyat yang lain sehingga boleh menimbulkan kekeliruan yang menyebabkan rosaknya akidah.
5. PENUTUP
Garis Panduan ini diharap akan dapat memberikan panduan kepada para penerbit media cetak, elektronik dan perfileman serta semua pihak, dalam usaha memurnikan kandungan bahan-bahan penerbitan, berdasarkan prinsip dan nilai-nilai agama yang luhur, mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Tarikh : 21 November 2005
[Wan Esma binti Wan Ahmad]
Editor : PRO JAKIM [Zakaria Bin Othman]
Hits : 5538
http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=773
0 Comments:
Post a Comment
<< Home